TATA
SUSILA PROFESION PERGURUAN.
Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa
tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara
yang berilmu, yang taat setia, yang menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke
arah kebenaran dan arah pencapaian hasrat yang gemilang, dan yang percaya
kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan Prinsip-prinsip Rukun Negara.
Melalui pendidikan, masyarakat dapat
membantu anak mudanya memahami kebudayaan mereka,
memperolehi pengetahuan
yang telah terkumpul sejak zaman berzaman, dan menyediakan mereka untuk
menghadapi cabaran pada
masa hadapan.
Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab
membimbing anak muda untuk mencapai
kemajuan sepenuh-penuhnya, maka
dengan ini kami menerima tata susila berikut sebagai panduan untuk
membolehkan kami menyempurnakan
profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya.
1. TANGGUNGJAWAB
TERHADAP PELAJAR.
a. Lebih mengutamakan
kebajikan dan keselamatan pelajar kami daripada hal-hal lain.
b. Bersikap adil terhadap
setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi,
politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama.
c. Merahsiakan maklumat
ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak
mengetahuinya.
d. Membimbing atau
mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam pelajaran yang
diajar di bilik darjah tanpa sebarang bayaran.
e. Menunjukkan suatu cara
pakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberikan contoh yang baik
kepada pelajar.
f. Memelihara dan
memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, penyelidikan, lawatan, dan
menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran
kami mencapai mutu yang setinggi-tingginya.
2. TANGGUNGJAWAB
TERHADAP IBU BAPA.
a. Menghormati tanggungjawab utama ibu
bapa terhadap anak-anak mereka.
b. Berusaha
mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi
pendidikan dengan rumah tangga.
c. Menganggap semua maklumat yang
diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumah
tangga atau
mengenai anak mereka sebagai sulit, tidak akan membocorkannya kepada sesiapa
kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya.
d. Memberikan maklumat
kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka, dan menggunakan maklumat
yang diterima daripada ibu bapa secara teliti dan bijaksana.
e. Mengelakkan diri dari
menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa
pelajar.
f. Mengelakkan diri dari
mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan
kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.
3. TANGGUNGJAWAB TERHADAP
MASYARAKAT DAN NEGARA
a. Mengelakkan diri dari menyebarkan
sesuatu ajaran yang boleh merosakkan
kepentingan pelajar, masyarakat atau negara,
ataupun yang bertentangan dengan Rukun Negara.
b. Memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang
boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia,
bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua dan
menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama.
c. Menghormati masyarakat tempat kami berkhidmat dan
memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warga negara yang sentiasa
sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat.
d. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman di antara guru
dan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat.
e. Memberi sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral,
kebudayaan dan kecendekiawanan masyarakat.
f. Berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima
oleh masyarakat dan menjalani kehidupan kami sehari-hari yang baik.
4. TANGGUNGJAWAB
TERHADAP RAKAN SEJAWAT DAN PROFESION PERGURUAN.
a. Mengelakkan diri dari membuat sebarang kenyataan atau
ulasan yang boleh
mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar,
atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang
guru.
b. Tidak
melibatkan dalam kegiatan yang boleh
menjejaskan kecekapan kami sebagai guru.
c. Berusaha
dengan sepenuh-penuh menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan
bersungguh-sungguh dan mengekalkan sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial.
d. Sentiasa
bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang baharu dalam
profesion perguruan.
e. Sentiasa
mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.
f. Akan
menjadi ahli sesuatu pertubuhan guru.